JURULATIH skuad Olimpik negara, Ong Kim Swee belum dapat mengesahkan tahap kecederaan yang dialami Wan Zack Haikal Wan Nor apabila pemain sayap itu kini berada di Slovakia bersama kelab, Vion Zlate Moravce.
Wan Zack Haikal yang mengalami kecederaan pergelangan kaki kanan ketika Malaysia tewas 2-0 kepada Jepun pada perlawanan pembukaan Kumpulan C kelayakan Olimpik London 2012, Rabu lalu terus pulang ke Slovakia selepas tamat perlawanan itu bersama dua lagi pemain yang dipinjamkan, Mohamad Fadhli Shas dan Irfan Fazail.
Menurut Kim Swee, pada pemeriksaan awal yang dilakukan di Jepun kecederaan yang dialami pemain Harimau Muda A itu amat serius.
“Kecederaan pergelangan kaki kanannya agak serius dan dia sememangnya memerlukan rawatan lanjut. Tapi dia kini sudah berada di Slovakia untuk beraksi semula bersama kelab Vion sebagai pemain pinjaman.
“Saya tidak tahu keadaan terkini kecederaannya itu namun saya akan berhubung dengannya esok (hari ini) untuk mendapatkan maklumat lanjut,” katanya.
Wan Zack Haikal, 20, tonggak utama skuad bawah 22 tahun negara sudah mengalami kecederaan ketika perlawanan persahabatan dengan skuad Olimpik Oman di Stadium Shah Alam sehari sebelum berlepas ke Jepun pada 16 September lalu.
Selepas berehat dia tetap diturunkan dalam kesebelasan utama menentang skuad Samurai namun digantikan dengan Wan Zaharulnizam Wan Zakaria pada babak kedua.
Ketika ditanya adakah lebih baik pemain itu berada di Malaysia untuk menjalani latihan pemulihan ketika ini, Kim Swee berkata, Wan Zack Haikal perlu kembali menyertai kelabnya semula kerana mempunyai kontrak sehingga November depan.
“Wan Zack Haikal dan dua lagi pemain mempunyai kontrak bersama Vion dan kelab itu adalah kelab yang profesional jadi mereka pasti akan menjaga dan menguruskan rawatannya dengan baik di sana,” katanya.
Menurutnya, Wan Zack, Fadhli dan Irfan yang menandatangani kontrak sebagai pemain pinjaman bersama Vion 16 Ogos lalu akan kekal di Slovakia dan tidak akan menyertai latihan pusat bagi persiapan Sukan Sea Indonesia bermula Sabtu ini.
Sumber : Metro Online
No comments:
Post a Comment